Thursday, 28 November 2019

Deactivate Facebook


Rasanya adalah dekat lebih dua bulan dah menyahaktifkan akaun Facebook. Kononnya masa tu nak lebih fokus menulis di blog. Tapi.. Tapi.. Entahlah. Saya pun tak tahulah apa yang saya sibuk sangat sampai tak update pun blog ni setiap hari. Huhu.

Sekarang, tengah fikir balik, nak aktifkan semula atau pun tidak akaun Facebook ni. 


Tapi, macam dah tak berapa nak rajin untuk mengaktifkan diri di dunia 'mukabuku' itu. Tapi.. Tapi.. Rasa macam nak cari balik mood mengarang di blog dan buat macam menulis diari. Harapnya menjadilah kali ini. Haha. Harapan..

p/s: Nak jengah ke blog kengkawanlah. Lama tak baca cerita awak semua. [^_^]

Wednesday, 27 November 2019

Nak Belajar Tentang Saham


Seriuslah hari ini tetiba rasa nak belajar tentang saham. Tapi, itulah nak belajar berkaitan saham ini, kena ada sifat kerajinan yang tinggi. Macam-macam nak kena faham. Macam mana cara nak daftar untuk melabur saham. Macam mana nak tahu masa bila nak beli dan jual saham. Apa jenis saham yang sesuai untuk kita beli.

Dan antara yang utama juga, jenis saham yang manakah halal untuk kita beli. Yelah, sebaik-baiknya kita mahukan sesuatu yang halalkan. Jadi, saham pun kita nak yang macam itu jugalah. Bila kita ingin beli saham, pastilah kita mahukan pulangan dividen yang baik. Tetapi, kita juga kena bersiap sedia untuk menghadapi segala risiko yang ada. Sebab, saham ini tak semestinya akan sentiasa berada di atas. Boleh jadi kadar bacaannya hanya mendatar, dan tak mustahil juga nilai dividennya juga akan jatuh.

Saya google, terjumpa pula dengan Bursa Malaysia Stock Watch Gadget ini. Walaupun masih tak faham apa benda pun tentang bacaan dia ini. Tapi, nak letak juga dalam blog. Hahaha.

Boleh dapatkan di sini, untuk dapatkan gadget Bursa Malaysia Stock Watch.




p/s: Kalau ada sesiapa yang faham tentang saham, bolehlah kongsikan kepada saya yang baru nak belajar ni. Hihi.

p/s lagi: Rasa lama tak blogwalking, nanti saya jengah ke blog kengkawan ye.

Terima kasih kepada semua yang sudi jejak ke blog ini. [^_^]

Friday, 22 November 2019

Pengalaman Menghadiri Temu Duga Pegawai Penyelidik Gred Q41

Alhamdulillah, hari ini saya dapat menghadiri satu lagi temu duga dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau ringkasnya kita panggil SPA. Kali ini mendapat panggilan temu duga untuk jawatan Pegawai Penyelidik Gred Q41 Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia atau nama timangannya, NAHRIM.


Rasanya inilah kali pertama temu duga saya secara berkumpulan yang saya hadiri selepas habis belajar. Memang satu pengalaman yang tak dapat dilupakan. Tempat temu duga pula di Putrajaya. Perancangan awalnya saya nak pergi dengan kakak saya, tetapi kakak saya tak dapat pula nak hantar saya. Saya cadang nak memandu sendiri aje, tapi, mak saya pula tak benarkan. Yelah, tempat itu saya tak pernah pergi sendiri, jadi, mintalah pertolongan dengan Makcik dan Pakcik saya. Alhamdulillah, Mak cik dan Pak cik saya dapat hantarkan saya untuk menghadiri temu duga ini. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada mereka berdua. Memang banyak jasa pak cik dan mak cik saya ini kepada kami sekeluarga.

Perjalanan pagi tadi, Alhamdulillah dipermudahkan. Saya selamat sampai ke destinasi sebelum pukul 7.30 pagi. Target memang nak jadi orang yang pertama masuk dalam bilik Temu Duga. Dan memang masa daftar itu dapat jadi orang yang pertama. Cuma, masuk temu duga itu, saya tak sangka pula masuk sekali 4 orang. Lagi bertambah debarannya. Haha.

Masa menunggu, datang seseorang yang mencari calon-calon yang hadir untuk temu duga jawatan Pegawai Penyelidik ini. Sebelum masuk, pihak penemuduga ini terangkanlah yang kami akan ditemuduga lebih kurang dalam 1 jam 30 minit. Bila dah dipanggil untuk masuk ke bilik tersebut, seriuslah saya tak sangka yang memanggil kami tadi adalah seorang yang berpangkat Datuk. Dan lagi tak sangka, beliau jugalah yang menelefon semalam untuk memastikan yang kami ini dapat hadir atau pun tidak.

Berbalik kepada cerita temu duga. Saya percaya orang yang betul-betul minat untuk dapatkan sesuatu pasti dia akan usaha untuk dapatkan apa yang diminatinya itu, kan? Dan itulah kata-kata yang saya dapat dalam temu duga tadi. Memang betullah apa yang pihak penemuduga tadi katakan. Bila kita nakkan sesuatu memang kita akan usaha untuk dapatkan.

Bermula dari ayat itu saya dah rasa ada banyak kekurangan dalam diri saya. Nak kata saya tidak berminat dengan jawatan ini, saya berminat sebenarnya. Tetapi, bila datang dengan persediaan yang tidak mencukupi, memang rasa belum lagi layak untuk hadapi semua ini. Jujur. Memang saya tak buat persediaan yang sepenuhnya. Tapi, saya tetap nak datang juga. Sebab, saya nak rasai pengalaman temu duga untuk jawatan tersebut.

Memang soalan yang ditanya pun sebenarnya tidak disangka juga. Baca bab lain, tapi keluar bab lain. Macam masuk dalam peperiksaanlah. Kita spot soalan lain. Tapi, soalan lain yang keluar. Jadi, pengajarannya janganlah suka spot soalan. Hahaha.

Macam topik tadi, kami banyak disoal berkaitan dengan pantai, pengurusan pantai, bagaimana nak tangani masalah yang berkaitan pantai. Memang majoriti tentang pantai ajelah. Sebagai seorang penyelidik, anda juga kenalah tahu tentang jurnal-jurnal yang berkaitan. Nama pun nak jadi penyelidikkan? Jadi, kenalah banyak membaca. Bab isu semasa lagilah nak kena tahu. Memang majoriti segala pengetahuan am kena tahu. Betullah orang kata, nak dapatkan kerja dengan SPA ini bukan mudah. Tapi, tidak juga susah jika kita berusaha untuk dapatkannya.

Dan siapa sangka, di pengakhiran temu duga kami, ada kuiz yang perlu kami selesaikan. Ilmu Geografi pula tu. Seriuslah. Terbayang wajah cikgu Geografi di zaman sekolah. Soalannya berkait jugalah dengan pantai. Memang, jawab ikut suka hatilah jawabnya. Hahaha.

Satu pengalaman yang memang tak akan saya lupakan. Oh yaa.. Bahasa yang digunakan ialah dwi bahasa. Ada masa kami bersoal jawab dalam Bahasa Melayu. Dan ada masa kami kena jawab dalam Bahasa Inggeris.

Jadi, kepada calon-calon temu duga akan datang, semoga bersiap sedialah. Lakukan persediaan yang mecukupi. Semoga awak semua dapat buat yang lebih baik.

Terima kasih juga kepada pihak penemuduga daripada SPA dan NAHRIM. Kami belajar sesuatu hari ini. =)


p/s: Semoga semangat suka membaca daripada anda semua mengalir ke dalam diri saya juga. [^_^]

p/s lagi: Padahal sebelum ini dah pernah kena tegur dah pasal persediaan ni, tapi nampaknya masih belum ada sedar diri. Hahaha.

Wednesday, 20 November 2019

Master by Research


Hari ini saya tengok keywords. Ada pengunjung mencari cara-cara nak sambung Master by Research. Saya tak sambung Master lagi. Tak tahu bila nak sambung. Insha-Allah, ada rezeki nanti sambunglah. Sekarang ni fokus dapatkan pekerjaan tetap dahulu, bayar hutang dan kemudian baru teruskan perancangan yang lain pula.



Ok, kepada pengunjung yang mencari, saya kongsikanlah serba-sedikit bagi sesiapa yang nak sambung pengajian Master secara penyelidikan ini. Jika ada kawan-kawan atau pengunjung lain yang tahu cara yang betul, kongsikanlah nanti di ruang komen.

Antara langkah-langkah yang boleh awak ambil untuk sambung Master by Research dalam negara:

1) Tetapkan matlamat awak nak sambung by research sebab apa dan kenapa. Ada baiknya kalau awak dah ada tajuk sendiri, jadi awak dah tahulah apa yang awak nak buat. Kemudian, carilah di Universiti mana yang awak nak buat. Boleh tengok di direktori staff. Hubungi pensyarah tersebut dan bagitahulah berkaitan minat awak nak buat research di bawah penyeliaan pensyarah tersebut. Jika pensyarah itu boleh guide awak. Maka, teruskanlah untuk hantar permohonan.

2) Boleh juga cari di Facebook universiti yang berkaitan. Join mana-mana group postgraduate yang ada. Biasanya di situ, memang ada pensyarah yang akan keluarkan iklan untuk mencari pelajar research.

3) Sentiasalah rujuk laman sesawang universiti. Contoh di UTHM, boleh rujuk di sini. Centre For Graduate Studies.

4) Boleh juga pergi ke pameran kerjaya yang biasanya akan ada juga pihak universiti datang untuk sertai buka reruai. Di situ nanti anda boleh dapatkan penerangan dengan lebih jelas lagi.

5) Bila nak buat Master by Research ini, ada baiknya carilah penyelia awak yang ada geran. Bila ada geran, tak adalah banyak sangat kos yang perlu pelajar keluarkan sendiri untuk siapkan penyelidikan itu nanti.

6) Kalau kata, nak sambung juga tapi tak tahu nak buat tajuk apa. Ok, cubalah mohon untuk jadi RA atau nama penuhnya Research Assistant, sebab dari sini, pensyarah yang berkaitan itu akan bantu awak untuk awak sambung Master by Research. Biasanya kalau jadi RA ni memang dia akan buat Master sekali. Jadi, awak tak payah pening-pening kepala nak cari tajuk. Pensyarah tersebut akan tolong awak nanti. Cumanya di sini, awak kena punch in dengan punch out lah. Macam orang masuk kerja pejabat tu. Kalau tak buat nanti awak tak dapat elaun. Untuk mohon jadi RA boleh layari laman sesawang universiti yang awak nak masuk atau pun macam dalam poin yang ke-2 yang saya nyatakan tadi.

Itu sahajalah yang saya tahu. Semoga dapatlah juga membantu awak yang tercari-cari cara untuk sambung Master by Research ini.

Selamat maju jaya kepada awak semua! 


p/s: Teringin nak sambung belajar di luar negara, tapi banyakkan prosedurnya? Huhu.

Tuesday, 19 November 2019

Cari Kerja




Saya masih lagi dalam fasa mencari kerja. Selagi ada peluang untuk mencari, saya akan terus mencari dan mencari. Bila ada yang tanya, "Ada perancang untuk sambung belajar lagi?".

Semestinya ada. Tetapi, bukanlah waktu yang terdekat. Sekarang ini lebih nak mencari kerja, ada pendapatan sendiri nanti bolehlah saya membayar segala hutang yang ada.

Lebih nampak nak bayar hutang aje ni. Nak belajar lagi tu kemudianlah saya fikirkan.

Hari ini tadi baru pergi pameran kerjaya atau 'Job Fair' yang dianjurkan oleh Jobs Malaysia Melaka dengan usahasama Politeknik Merlimau Melaka (PMM) yang bertempat di Dewan Platinum, PMM. Dapatlah saya pergi temuduga secara terbuka ini. 

Sesiapa yang berdekatan, bolehlah pergi. Program ini berlangsung sehingga pukul 4.30 petang ini. Kalau sempat, pergilah. Ada pelbagai jenis peluang pekerjaan yang disediakan. Ada bahagian teknikal, ada bahagian retail, ada bahagian pengurusan dan pelbagai lagi bahagian kerja yang ada.

Nak ikutkan, memanglah saya nak cari dalam bidang yang saya belajar. Tetapi, saya cubalah juga mencari peluang yang lain. Yang penting usaha nak mencari kerja itu, masih ada dalam diri. Lama-lama duduk di rumah ini, memang perlukan semangat yang kuat untuk melawan segala kemalasan yang ada. Haha.

Biarpun sudah berbulan-bulan duduk di rumah, tetapi ada juga kerja sendiri yang saya lakukan untuk menjana pendapatan sendiri. Nak tahu kerja apa? Nanti saya kongsikan di lain entri.



p/s: Nak kena rajin membaca dan menulis semula ni. Semoga kerajinan yang ada pada awak semua mengalir juga ke dalam diri saya. [^_^]

Sunday, 17 November 2019

Yeay! Dah Ada Iklan!

Teruja bila dah nampak iklan tu dah keluar di blog. Moga iklan yang keluar semuanya elok-elok belaka. Hihi.

Seronok bila dapat email ni. Terima kasih. [^_^]


Dah nampak ada iklan dah keluar di sidebar kanan tu. Yeay!
Tapi.. Tapi.. Banyak lagi sebenarnya tak faham pasal Google Adsense. Haha. Banyak lagi nak kena belajar ni.

p/s: Semoga dengan cara ini boleh menaikkan semangat saya untuk kembali berblog. [^_^]

Wednesday, 13 November 2019

Teringin Juga Nak Ada Pendapatan Dengan Berblog

Rasa macam panjang tajuk entri kali ini. Haha. Hampir sebulan juga saya tak buat entri baru. Nak cerita tentang Konvokesyen pun tak tercerita lagi. Tak Tahu kenapa payah benar nak datang menaip di sini. Rindu juga nak baca cerita di blog kawan-kawan.

Hari ini, asyiklah fikir macam mana nak buat duit dengan blog. Jadi, google lah yang mana berkaitan. Lepas tu teringat tentang Google AdSense. Saya daftar lama dah. Tapi, itulah. Update entri pun sekali-sekala, macam manalah pihak Google AdSense ni nak terima, kan?




Selalunya berapa lama nak dapatkan approval untuk iklan itu wujud dalam blog kita? 

p/s: Semoga rasa nak berblog semula kali ini menjadilah. Hihi.


Friday, 18 October 2019

Anugerah Naib Canselor


Alhamdulillah, semalam berlangsungnya Anugerah Naib Canselor di UTHM. Tahniah saya ucapkan buat rakan-rakan seperjuangan yang berjaya mendapatkan anugerah tersebut.

Saya? Tak dapat pun. Mula-mula, memanglah sedih juga. Nak menyesal pun dah tak ada gunanya lagi. Dah habis pun belajar. Bak kata ayah pun, "Nak buat macam mana, dah selesai dah pun."

Nak ikutkan, semasa semester akhir yang lepas, memang saya target nak dapatkan pingat tu. Sebab nak dapatkan yang selempang tu memang dah menyempang. Memang tak akan dapat. Hahaha.

Tapi, tak mampu juga saya nak tunaikan. Usaha ala kadar aje, mana nak dapat, kan?

Tak apalah, demi untuk menyedapkan hati, saya ulang-ulang kata kepada diri. "Bersyukurlah. Sekurang-kurangnya dapat juga habiskan pengajian." Memang kalau nak cerita bab menyesal tu memang boleh siap satu buku. Hahaha.

Alhamdulillah. Saya mulakan semester pertama di UTHM dengan keputusan GPA 3.45 dan saya sudahi keputusan GPA saya dengan nilai 3.40.

CGPA? Tak perlulah saya ceritakan. Sebab 'dia' dah selamat menyelam kelautan yang dalam. Hahaha.



Inilah pingat tu. Tahniah, Ekin dan kawan-kawan! 
(Ekin ni salah seorang teman sebilik semasa di semester 1)

p/s: Insha-Allah, saya bakal berkonvo pada hari Ahad ini. Jemputlah datang ke UTHM, ada banyak booth yang dibuka. Banyak jualan mur mur katanya. 

p/s: Maaf tak dapat nak blogwalking ke semua blog. Nanti saya jenguk ke blog kengkawan. Terima kasih kepada semua yang masih sudi singgah ke sini. [^_^]

Wednesday, 2 October 2019

Scott's Vitamin C Pastil


Biarpun lebih kepada untuk kekanak, tapi, orang dewasa pun suka juga ni. Hihi. 

Rasa macam dah lama tak makan vitamin C. Padahal, makan aje buah-buahan. Tapi, rasa nak kena jugalah cari makanan tambahan yang ada vitamin C ni.

Ada cadangan tak jenis vitamin C apa yang sesuai untuk yang bukan budak-budak lagi ni. Haha.


p/s: Teringat zaman kekanak dulu, ada jugalah makan scott's emulsion. 

Tuesday, 24 September 2019

Temuduga Dan Peperiksaan

Rasa lama betul tak update blog. Maaf tak dapat nak singgah ke blog rakan-rakan. Curi-curi masa kejap nak update blog. Padahal banyak aje masa. Hihi.

Insha-Allah, esok saya akan menghadiri temuduga dan pada tarikh yang sama akan menghadiri peperiksaan online. Kedua-duanya untuk jawatan yang sama tetapi Kementerian yang berbeza.

Semoga Allah s.w.t permudahkan urusan saya untuk menghadiri kedua-duanya dengan jayanya. Insha-Allah. Aminn.


Insha-Allah, ini temuduga dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.


Dan ini pula Peperiksaan Perkhidmatan Awam (PSEE)


p/s: Rasa gemuruh jiwa semangat membara. Dari puncak ingin ke angkasa. Berkalungkan bintang berkelipan. Menyerlah jauh dari yang biasa. Ehh.. Nyanyi pula. Hahaha.

p/s: Tolong doakan saya berjaya dapatkan pekerjaan. Semoga saya dapat selesaikan semua hutang-hutang yang ada. =)

Sunday, 8 September 2019

Akhirnya..

Akhirnya jumpalah juga template yang berkenan buat masa ini. Saya cari di Gooyabi. Kira oklah. Sekali-sekala nak juga tukar template. Tapi, tu lah, bila tengok template lain rasa macam nak tukar lagi. Sungguh hidup ini tak pernah puas. Hahaha.



Tapi, bila saya rasa nak kembali ke template yang lama, saya akan pilih semula template yang sememangnya disediakan oleh blogspot.

Mungkin template ini jugalah yang berkenan di hati selalu. Hahaha.

Ok, nak edit apa yang patut sambil-sambil tu nak blogwalking cari idea. [^__^]

p/s: Rasa nak letak iklanlah dalam blog ni.

Jemput-jemput Ikan Bilis Campur Udang

Hari ini gerai Kak Milah tak buka. Biasanya sarapan pagi memang ayah beli aje makanan di gerai. Sebab nak cepat makan. Kalau nak memasaknya memang ambil masa betul. Lebih-lebih lagi waktu pagi. Dan lebih-lebih lagi bila seorang Faarihin tu nak buat. Huhu.

Kalau makan untuk tengah hari dan malam memang kena masak. Masak sekali banyak waktu tengah hari senang untuk makan malam terus. Cuma sarapan pagi aje yang selalu beli.

Zaman saya dengan adik-beradik yang lain masih kecil, memang mak selalu buat sarapan. Tapi, ini bila dah tinggal bertiga. Beli ajelah senang. Lagipun gerai Kak milah tu selang sebuah rumah aje. Gerai makan yang memang 'legend' yang dulunya dikendalikan oleh arwah Mak Cik Bibah. 

Lepas subuh tadi mak suruh saya masak jemput-jemput ikan bilis. Udang tu saya campur sedikit aje.

Resipi yang memang mudah untuk semua orang masak. Dan ini bahan yang saya gunakan:

1) Tepung gandum
2) Ikan Bilis
3) Udang
4) Bawang besar
5) Lada hidup merah dan hijau
6) Daun saderi dan daun bawang
7) Air suam
8) Garam secukup rasa
9) Minyak masak untuk menggoreng

Kesemua bahan-bahan dari nombor 3 hingga 6, saya potong halus.

Saya tak letak sukatan sebab semua bahan main agak-agak letak je. Bila belajar memasak dengan mak, memang main agak-agak aje. Rasanya semua mak-mak macam tu kan? Huhu.

Jadi, bahan-bahan dari nombor 1 hingga 8 kita campurkan dan gaulkan hingga sebati. Air tu pun letaklah agak-agak bila dah sesuai sebatian dia untuk menggoreng. Jangan cair sangat. Saya lebih suka guna air panas atau suam sebab nak bagi tepung tu cepat larut. Dah siap goreng, bolehlah makan.

Ini hasilnya bila dah siap digoreng. Cicah dengan sos cili pun sedap.

Saya guna sudu masa nak meletakkan dalam kuali. Kalau guna tangan, mungkin dapatlah buat bentuk bulat-bulat.

Selepas itu, sambung buat maggi. Hahaha.


Maggi ni zaman belajar, tak dapat nak letak macam-macam. Duduk asrama. Tak boleh nak masak. Bila dah ada di rumah, bolehlah kita bubuh macam-macam bahan yang kita nak. Tapi, jangan makan maggi selalu tau! Huhu. Makan bila teringin aje.

Sekian cerita sarapan pagi untuk hari ini.

p/s: Awak semua sarapan apa hari ni?

Saturday, 7 September 2019

Teme Abdullah

Siapa dia ni?

Kalau ikutkan hati nak aje jawab, "My Cinta Hati!"

Hahaha. Memang putus fiuslah kalau nak jawab bebetul macam tu kan. Jumpa pun tak pernah, bukan main nak bercinta hati bagai. Ehhh.. Hello, dia adik, ok. I ni kakak. Tak kan nak bercinta dengan budak-budak. Hahaha. Sorrylah Teme, akak gurau aje ni. (Macamlah si Teme tu baca blog ni. Hahaha.) Tapi, seriuslah berapa ramai yang suka kepada dia biarpun tak pernah jumpa. 

Teme ada sesuatu yang buatkan ramai orang sukakannya. Kalau tanya kepada saya. Sebenarnya tak ada jawapan yang spesifik. Tapi, yelah kan sudah tentu saya akan jawab saya jatuh cinta setiap karya-karya lukisan yang dihasilkannya. Tambahan lagi pandai betul bagi kata-kata motivasi dan nasihat. Kadang-kadang tu bila baca apa yang dia post di twitter rasa macam, 'Huish.. dia ni ada sixth sense ke.. macam tau-tau aje apa yang berlaku dekat aku bila baca kata-kata ni.' Hahaha.. Lebih kurang macam tulah rasanya. Lepas tu, hati pun berbunga-bunga. 

Bagi sesiapa yang dah pernah baca buku Pelukis Jalanan, pasti akan mengenali siapa itu Teme Abdullah. Diikuti dengan sambungan siri Jalanan dan kemudian karya Empayar juga. Sungguh setiap coretan Teme itu ada sesuatu. Bagi yang memang belajar dalam selok-belok penulisan, mungkin akan mengatakan jalan cerita fiksyen Empayar itu tidak seperti karya fiksyen. Tetapi, bagi kami yang tak kisah pun segala peraturan sastera, kami sangat senang membaca setiap karya yang dihasilkan oleh Teme. Yelah, kan. Kalau dah minat, semuanya suka. Hahaha.

Baru-baru ini viral lukisan Yang Di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang ke-16. Lukisan yang dilakarkan oleh Teme sendiri telah mendapat perhatian oleh Raja Permaisuri Agong kita. Sungguh, rasa gembira tak terkata bila lihat lukisan Teme dan buku-bukunya telah selamat sampai ke Istana Negara.

Alhamdulillah. Bangga sangat dengan seorang Teme. Rasa nak menangis pun ada setiap kali baca status di IG story Teme baru-baru ni. Saya nak melukis macam Teme belum mahir. Jadi, memang tumpang gembiralah dengan apa yang Teme dah capai sekarang. Teme ni bukan calang-calang orang tau. Dia juga seorang Arkitek yang bekerja di UK. 

Alhamdulillah, jutaan terima kasih kepada Raja Permaisuri Agong dah Yang Dipertuan Agong yang sudi mencemar duli untuk menerima karya seorang pelukis dan penulis yang disayangi ramai ini. Pengikut-pengikut Teme yang lain pun sangat menyokong setiap apa yang Teme lakukan. 

Teme.. Anda sememangnya layak untuk dapat keistimewaan itu.

Semoga Teme teruskan berkarya dan memberikan inspirasi kepada semua.

Kepada yang nak mengenali Teme dan lukisan-lukisannya boleh singgah ke Instagram dan Twitter Teme.


Buku-buku Teme pula boleh didapati di kedai-kedai buku seperti MPH, Popular, Kinokuniya, SMO dan kedai-kedai buku yang lain. Nak terus beli online pun boleh. Boleh beli di Iman Shoppe Bookstore.  Sekarang ada promosi tau!

Tak sabar nak tunggu planner Teme, sambungan siri Jalanan dan Empayar. Semoga Allah s.w.t memberikan kesihatan yang baik buat Teme untuk menjalani kehidupan sebagai dirinya dan Teme Abdullah.

p/s: Saya minat melukis semula pun sebab suka tengok lukisan-lukisan Teme tu. Serius nak sangat berguru dengan dia. Tapi, yelah kan. Dia kan nak kekalkan 'anonymous' dia tu. Huhu. 

Take care Teme.

Tahu.. Teme memang tak akan baca blog ni pun. Tapi tak apa. Pengunjung-pengunjung yang datang ke sini, yang sudi baca pun dah buat saya terharu. Hihi. Terima kasih. [^__^]

Memang suka sangat dekat Teme tu. Kekadang berdoa sungguh semoga Allah munculkan seseorang yang seperti dia menjadi pasangan hidup saya. Amboii.. Jauh betul mengelamunnya. Hahaha. 

Friday, 6 September 2019

Tujuan

Pernah tak masa kita duduk sendirian, kita tanya kepada diri, "Apa tujuan aku dihidupkan di dunia ini?" Pernah tak kita rasa cukup dengan apa yang kita dah ada sekarang? Dan pernah tak kita rasa dah banyak ke amalan kita untuk kita bawa ke dunia abadi sana? 


Sumber gambar dari google.

Tadi, sempatlah menonton Al-Kuliyyah rancangan di TV3. Ustaz yang bagi ceramah tu pula antara Ustaz yang saya suka dengar iaitu Ustaz Ebit Liew. Ustaz Ebit ni bila dia bercerita pengalaman yang dia jumpa, mesti kita yang dengar ini pun rasa sedih juga.

Kalau sesiapa yang selalu ikuti Ustaz Ebit, mesti semua dah tahukan yang Ustaz Ebit suka pergi atau erti kata lain berdakwah ke tempat-tempat macam orang gelandangan tu. Kadang-kadang dia jumpa orang di lorong-lorong bangunan. Kadang-kadang di bawah jambatan dan banyak lagi tempat-tempat yang ustaz pergi.

Ada suatu kisah, ustaz pergi ke suatu tempat, tak silap saya dekat dengan jambatan, dia jumpa orang-orang yang tinggal di situ. Kebetulan ada seorang gadis itu asyik pandang aje ustaz dari jauh. Hinggalah sampai ada peluang, dia pun tegurlah Ustaz Ebit.

"Ustaz.. Dah lama saya tak solat." Itulah ayat yang keluar bila dia dapat bercakap dengan Ustaz. Hati dia nak sangat solat, tapi banyak yang dia dah lupa. Ustaz pun tanya kepada dia apa yang dia masih ingat dalam bacaan solat tu.

Bila dengar kisah macam ini sebenarnya sedih sangat. Sedih sebab, Allah kurniakan kita peluang untuk dapatkan ilmu dengan mudah. Allah beri kita peluang untuk solat dengan lebih selesa, tetapi peluang itu banyak kita abaikan. Kita tak ada masalah pun nak buat solat di rumah atau di mana sahaja yang kita sesuai untuk solat.

Tidak seperti mereka yang dah tiada kediaman sendiri, yang hidup secara gelandangan, mereka tak ada tempat yang sesuai untuk beribadah. Nak pergi ke masjid pun fikir banyak kali. Sebab kadang-kadang makin malu nak berhadapan dengan masyarakat. Bila keadaan mereka ada yang nampak seperti tidak terurus, masyarakat banyak menjauhkan diri daripada mereka. Sedangkan mereka nak sangat dekatkan diri mereka semula kepada Allah.

Yang paling terkesan bila Ustaz kata ustaz pergi ke mana-mana, pasti ada dalam sudut hati mereka, yang nak kembali kepada Islam. Mereka nak sangat solat. Mereka nak sangat amalkan kehidupan mereka seperti muslim yang lain.

Begitulah tujuan kita hidup di dunia ini pun sebenarnya adalah beribadah kepada-Nya. Seperti mana maksud firman Allah s.w.t dalam surah Adz-Dzaariyaat, ayat ke-56: "Dan (ingatlah) aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku."

Hidup ini memang perlukan tujuan. Jika tiada tujuan yang tepat, maka terumbang-ambinglah arahnya. Dan begitu jugalah tujuan hidup kita nanti selepas di dunia. Sudah cukupkah amalan yang boleh kita raikan di akhirat sana?

p/s: Sungguh peringatan buat diri ini yang sering lalai dan leka. 

Wednesday, 4 September 2019

Template Blog

Bab template blog ni memang selalunya tak arif sangat. Biasanya ambil template yang sedia ada aje. Bila nak tukar pun selalu tengok apa yang ada dalam blogspot ni juga. 

Tapi kali ini nak cubalah juga ubah template lain. Ada beberapa laman sesawang yang boleh kita download template blogspot secara percuma.

Antaranya:



3) Weblyb

4) Lovely Templates

5) ThemeXpose

6) Dan banyak lagi.

Dulu masa rajin tukar-tukar template, BTemplates tu lah yang selalu saya lawati. Nak reka template sendiri tak reti. Jadi, kita guna aje mana yang free. Hihi. 

p/s: Teringin nak belajar tentang SEO Blog ni tapi tu lah kena ada kerajinan yang tinggi nak berblog, kan? >__<

Insert Special Characters

Dalam entri semalam saya nak sangat emoji macam dalam whatsapp tu. Yang ada warna. Yang dalam blog ni tak ada warna. Huhu. Demand. Nak yang ada warna aje. Hahaha.

Nak masukkan emoji dalam blog, kita klik pada simbol senyum tu kan. 


Pernah juga guna sebelum ni. Tapi, yang saya perasan boleh guna emoji senyum dengan love itu aje. Tak macam dulu. Seingat saya. Dulu macam ada warna. Ke itu dalam email eh? Hahaha. Tak ingatlah.

Kalau emoji di blogspot hanya keluar macam ini aje untuk pilihan dia:


Banyak keluar kotak aje. Jadi, tak dapat nak pilih emoji yang lain. Huhuhu.. Pernah juga bila update blog guna telefon mudah alih, cuba copy & paste emoji dari whatsApp. Masa kita type nampaklah emoji dia tapi bila dah publish, tengok di blog, emoji tu jadi kotak je. Hahaha.
Kalau nak guna emoji yang ada di blog hanya dapat emoji ini aje. ☺❤✌☝

Yang lain-lain karakter tak dapat pun.

Selepas ini nak cubalah cari yang ada sediakan emoji kod html. Itu pun kalau rajinlah nak cari. Hahaha.

p/s: Dulu, saya cadang nak buat post yang lebih nampak dewasa, tak ada emoji-emoji ni. Tapi, ada masa naklah juga letak emoji seketul dua macam dalam whatsapp tu. Haha.

Tuesday, 3 September 2019

"Mak Cik.."

Teringat masa terpanggil 'Mak cik' dekat seorang kakak yang menjual di pasar malam. Mencuka betul riak wajah dia. Aduhh.. Tersasul kak. Maafkan saya, kak. Janganlah bermasam muka gitu. Keropok lekor akak sedap. Rindu saya nak beli keropok lekor akak tu. Haha.

Tapi, bila sekarang ini dah ada yang panggil kita Mak Cik. Ok, iyalah nak, mak cik terimalah nak. Jangan risau. Mak cik ni sentiasa sedar diri. Mak cik memang dah tua.

Nak lagi mesra selepas ini bolehlah panggil Mak Cik dengan panggilan Mak Su. Mak Su Inn pun boleh, nak. 

Hahaha. 

Blogspot ni kalau boleh letak emoticon macam di whatsapp tu kan best. Hahaha. Nak bagi feel lagi rasa yang terbuku di hati ini. Hahaha.

p/s: Sebahagian orang perempuan memang sensitif bab panggilan ni. Ke semua? Hahaha. Kalau ada yang saya tersalah panggil. Maklumkanlah. 

Monday, 2 September 2019

Kagum

Kita akan rasa kagum bila kita melihat sesuatu yang membuatkan kita rasa teruja. Contohnya macam lukisan. Pasti kita akan rasa teruja bila melihat lukisan orang-orang yang mahir ini. Bertambah lagi kagum bila pada mulanya kita hanya melihat garis-garis lurus biasa dan kemudiannya terhasil sebuah lukisan yang sangat cantik pada akhirnya. 

Kagum sangat. Sampai rasa kita pun nak jadi macam dia. Tapi, kita pun sedar diri, kita tak akan jadi macam dia jika kita hanya setakat berangan dan tak mulakan apa-apa tindakan. 

Bak kata Teme dalam Pelukis Jalanan, "Ia kekal dongeng.. Jika engkau tidak mula berjalan."

p/s: Nak buat sesuatu, minat pun mainkan peranan penting juga, kan?. Bila tak minat itu yang akan jadi hangat-hangat tahi ayam. Hihi. Macam diri inilah, kejap nak buat tu. Kejap nak buat ni. Akhirnya entah apalah yang nak jadi. Hahaha..

Sunday, 1 September 2019

Salam Ma'al Hijrah 1441H/ 2019M


Salam Ma'al Hijrah 1441H/ 2019M.
Semoga sentiasa dapat berhijrah ke arah yang lebih baik.




p/s: Tak reti lukis tapi nak lukis juga. Hahaha.

Saturday, 31 August 2019

Salam Hari Kemerdekaan Yang Ke-62 Tahun

31 Ogos 1957 - 31 Ogos 2019

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-62 tahun.

Semoga negara kita sentiasa diberkati dan dilindungi-Nya. 


Bila melukis bendera Malaysia, bahagian bucu bintanglah yang selalu tak menjadi nak lukis. Huhu.

p/s: Masih berlatih lagi main lukis-lukis ni. Mohon tunjuk ajar.. [^__^]

Friday, 30 August 2019

Jurutera Siswazah

Alhamdulillah. Petang tadi dah dapat email daripada Lembaga Jurutera Malaysia mengenai pendaftaran sebagai Jurutera Siswazah. Terima kasih kepada pihak universiti yang telah memudahkan kami graduan yang akan berkonvokesyen pada bulan Oktober 2019 untuk mendaftar secara bulk ini. Yuran pendaftaran dah siap bayar masa semester akhir yang lepas. Jadi, kami tinggal untuk isikan borang dan hantar kepada pihak universiti untuk urusan yang seterusnya. Berbeza pada zaman kakak dan abang saya, mereka kena daftar sendiri. 


Saya kongsikan ini bukannya nak menunjuk-nunjuk. Tapi, dah tunjuk ini kiranya macam menunjuklah jugakkan. Hahaha. Sebenarnya apa yang saya nak catatkan ini lebih kepada untuk kenangan memori sendiri. Saya ingat lagi, masa SPM dulu, tak terfikir langsung pun nak masukkan Jurutera sebagai pekerjaan yang diidamkan.

Seingat saya, ketika di tingkatan 2 saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang Ahli Astronomi. Tetapi, saya tak nampak laluan ke arah kerjaya itu. Mungkin kurang pendedahan. Hanya berangan-angan sahajalah. Kemudian, apabila berada di tingkata 4, dapat masuk ke aliran Sains Tulen. Jadi, konon-kononnya nak menjadi seorang Doktor perubatan. Rancang pula nak sambung belajar di University College Dublin Ireland. Macam biasa, berangan ajelah. Dengan keputusan SPM yang setakat lulus aje. Impian tersebut terkubur dengan sendirinya.

Biarpun keputusan subjek Fizik dan Biologi hanya setakat lulus, Kimia aje yang dapat kredit, tetapi keinginan untuk meneruskan pengajian dalam bidang Sains tak pernah padam. Malah lebih bercita-cita besar. Tak sedar diri langsung masa itu keputusan dah memang teruk. Nak mohon masuk ke universiti macam tak lepas. Nak sambung dalam bidang perubatan, lagilah tak lepas. Tetapi, saya tetap meneruskan strategi saya yang seterusnya untuk memohon dalam bidang kejuruteraan di Politeknik. Kiranya masih lagi berkaitan dengan sainslah juga, kan? Hihi

Ketika itu memang dah rancang nak mohon program Kejuruteraan Kimia dan Proses. Memang berangan dah nak bekerja sebagai seorang Jurutera Kimia. Dan tambah berangan lagi nak bekerja di pelantar minyak. Hidup saya memang tak pernah berhenti dengan berangan. Tetapi, apakan daya, disebabkan program itu hanya ditawarkan di Politeknik Kuching Sarawak ketika itu, maka saya tukar permohonan saya ke program Kejuruteraan Awam. 

Sebab tukar? Emak dan ayah tak bagi saya pergi jauh-jauh dari rumah. Anak bongsulah katakan. Perempuan pula tu. Kerisauan mereka memang tak mampu saya redakan. Emak saya dah pesan, pilihlah program Kejuruteraan Elektrik. Sebab buku-buku rujukan banyak dah ada. Kebetulan kakak dan abang saya sudah pun belajar dalam bidang tersebut.

Tetapi, disebabkan saya macam dalam fasa rebel. Merajuk pun ya juga. Saya pilih Kejuruteraan Awam. Entah kenapalah nak pilih juga bidang ini. Nak ikutkan tak tahu apa pun tentang Kejuruteraan Awam. Ikut suka hati aje mohon. Sebab masa itu saya boleh pula fikir macam ni, "Kejuruteraan Elektrik, Bang. Marul dengan Kak Ipah dah ambil, Kejuruteraan Mekanikal pula Bang. Mirul dah ambil. Haa.. Kejuruteraan Awam aje yang tak ada siapa ambil lagi. Aku pilih yang ini ajelah.." Itulah yang berlaku masa saya nak tukar permohonan. Dah lah tinggal sehari sahaja sebelum tarikh tutup. Masa tu kena buat permohonan secara online. Jadi, bersungguhlah saya pergi ke cc (cyber cafe) untuk tukar permohonan tersebut. Sedih jugalah waktu itu sebab tak dapat bidang yang saya nak.

Abang Mirul saya yang ketika itu sedang belajar di Ipoh ada juga telefon, bertanyakan tentang perancangan saya  untuk sambung belajar. Saya pun mengadu ajelah kepada dia tentang permohonan yang terpaksa saya tukar itu. Dia pun nasihat ajelah, "Tak semestinya apa yang kau nak tu terbaik untuk kau, dan boleh jadi apa yang kau tak nak itulah yang terbaik untuk kau." Lebih kurang macam itulah ayat dia. Dan dia pun sebelum itu ada nasihatkan saya, "Nak mohon nanti pilihlah satu Sijil dengan satu Diploma. Nanti gerenti kau dapat Sijil." Memang masin tau mulut dia. Dan saya pun memang lurus ikut cakap dia. Hahaha. Sebab saya nak cepat sambung belajar. Memang saya dapat Sijil Kejuruteraan Awam dan tempat saya mulakan destinasi selepas SPM adalah di PMM iaitu Politeknik Merlimau Melaka. Saya bangga menjadi warga PMM! [^__^]

Maka, di situ bermulalah drama saya dengan program Kejuruteraan Awam. (Sebelum tukar permohonan tu memang tak tanya langsung kepada abang saya tentang bidang ini. Sebab masa itu, kemaruk nak Kejuruteraan Kimia aje. Tak ambil tahu langsung pasal Kejuruteraan Awam. Hahaha.)

Rasanya macam panjang betul cerita dalam entri kali ini. Kalau menulis lagi rasanya boleh dah kut buat satu buku. Hahaha. Siapalah yang nak baca nanti. Nanti kita sambung perjalanan yang seterusnya di entri akan datang. Bila nak sambung tak tahulah.

Berbalik kepada tajuk entri, (Pergghh.. Mukadimah dia bukan main panjangkan? Hahaha)

Biarpun hanya bergelar Jurutera Siswazah. Alhamdulillah, dapatlah juga menjadi seorang Jurutera, kan? Tapi, itulah. Saya masih lagi membuat pelbagai aktiviti yang boleh mengisi masa lapang saya. Erti kata lain, masih lagi menjadi penanam anggur yang memang tak berbuah. Tetapi, kekadang teringin juga nak tanam anggur yang ada hasil tu. Berangan nak tanam pokok anggur di belakang rumah. Ada masa adalah juga saya mohon pekerjaan yang berkaitan.

Ada juga perancangan nak cari kerja lain buat sementara waktu. Tetapi, disebabkan saya ada lagi satu temuduga dengan SPA pada bulan September nanti. Jadi, saya hentikanlah niat saya itu. Mak saya risau saya tak fokus nanti. Jadi, mak saya harap sangat saya dapat buat persediaan secukupnya. Sebab temuduga yang lepas saya kurang persediaan. Sekarang ini pun, pada masa yang sama juga saya sedang siapkan tempahan lukisan mini saya yang kemudiannya saya jadikannya fridge magnet. Dah siap lukis, laminate, lepas tu tampal magnet di bahagian belakangnya, maka jadilah fridge magnet. Kan? Hahaha.

Lukisan saya yang masih tahap 'newbie', kadang-kadang macam budak tadika pun ada. Alhamdulillah, ada juga yang berkenan dengan karya saya itu. Semoga dipermudahkan urusan untuk menyiapkannya secepat mungkin. Nanti saya ceritakan tentang lukisan saya itu di entri yang lain.

Usia saya sekarang dah pun ke angka 32 tahun, kadang-kadang cemburu dengan rakan-rakan yang dah bekerja. Kadang-kadang tak nak tengok instagram, sebab nanti ternampak kawan-kawan update tentang aktiviti kerja mereka. Lebih-lebih lagi yang dapat bekerja dalam bidang berkaitan. Saya teringin sangat nak bekerja sebagai seorang Jurutera. Pergi ke tapak projek pembinaan. Baca pelan. Buat design. Lalui pelbagai ragam manusia. Lagipun bidang Kejuruteraan Awam ini luas sebenarnya. Bukan hanya setakat bekerja di tapak pembinaan sahaja. Banyak lagi tempat yang boleh diaplikasikan berkaitan bidang ini.

Kekadang rasa macam disebabkan usia sekarang mungkin salah satu penyebab sukar untuk saya dapat pekerjaan yang diidamkan. Tetapi, bila ada peluang mendapat temuduga daripada SPA, persepsi saya sedikit berubah. Mungkin, ada sinarnya nanti. Insha-Allah.

Semoga masih ada peluang untuk saya bekerja dalam bidang yang saya pelajari ini. Ada rezeki nanti, Insha-Allah, nak juga sambung belajar ke peringkat yang seterusnya lagi.

Oklah. Panjang betul menaip kali ini. Kepada yang sudi baca. Jutaan terima kasih saya ucapkan. Kita jumpa di lain entri. [^__^]

p/s: Tarikh 15 Ogos 2019.. Sungguh tak akan saya lupakan.. Al-Fatihah buat arwah Fitrah Husna.. 

Manfaat Membaca Surah Al-Kahfi

Setiap kali hari Jumaat, mesti teringatkan Surah Al-Kahfi. Dan pagi tadi Program #QuranHour pun menceritakan tentang Surah Al-Kahfi. Banyak manfaat yang diperolehi bila kita membaca surah Al-Kahfi ini. Antaranya:

Dapat menjauhkan diri dari fitnah Dajjal.

Berdasarkan hadis dari HR Muslim, "Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat dari permulaan surah Al-Kahfi, maka ia dilindungi dari Dajjal."

Dalam riwayat Abu Dawud pula seperti yang disampaikan oleh Qatadah, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barang siapa yang menghafal ayat akhir daripada Surah al-Kahfi akan terpelihara daripada fitnah Dajjal."

Tambahan lagi dengan membaca Surah Al-Kahfi juga akan memperolehi pengampunan dosa di antara dua jumaat. Seperti di dalam hadis: "Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat maka akan memancar cahaya di bawah kakinya sampai ke langit, akan meneranginya kelak pada hari kiamat, dan diampuni dosanya antara dua Jumaat." (HR. Al-Hakim dan Al-Baihaqi).

Selepas ini, eloklah selalu amalkan membaca surah Al-Kahfi dan begitu juga surah-surah yang lain. Semoga Allah sentiasa melindungi kita dari segala gangguan yang tidak diingini dan tetap teguhkan iman kita. Moga kita juga sentiasa istiqamah di jalan-Nya. Insha-Allah.

Sumber:
1) http://www.islam.gov.my/e-hadith/319-kelebihan-membaca-surah-al-kahfi
2) https://www.hmetro.com.my/addin/2018/07/362195/manfaat-surah-al-kahfi
3) https://www.mingguanwanita.my/ini-rupanya-4-sebab-kenapa-surah-al-kahfi-sangatlah-digalakkan-dibaca-hari-jumaat/

p/s: Jika ada yang salah mohon betulkan. Rasa macam pergi masuk kelas hadis aje. Teringin nak belajar tentang hadis-hadis yang lain. 

Thursday, 29 August 2019

To Do List

Siapa rajin buat senarai aktiviti yang akan dilakukan setiap hari?
Biasanya terlaksana tak semua aktiviti tu?

Saya selalu juga buat senarai tu.
Tapi, tak semualah yang berjaya dilakukan.

Kadang-kadang rasa macam tamak pun ada.
Yelah, tamak nak buat semua perkara.
Tapi, yang betul-betul buat dalam tiga dan empat perkara aje. Haha.

Sesiapa yang berjaya buat kesemua aktiviti yang disenaraikan,
kongsikanlah tip kejayaan tu. [^__^]

p/s: Rasanya lepas ni tulis senarai aktiviti yang dah berjaya dibuat ajelah. 

Sunday, 25 August 2019

Banyakkan Membaca

Rugi betul bila menghadiri temuduga yang pertama saya tidak membuat persiapan sebaik-baiknya. Saya akui saya kurang membaca. Jadi, setiap soalan yang penemuduga tanyakan, saya tidak dapat menjawab dengan lancarnya. 

Silap sendiri. Dah banyak kali dah orang sekeliling pesan, studi, baca apa yang berkaitan. Tapi, saya buat endah tak endah. Sehari sebelum temuduga barulah sibuk nak baca mana yang sempat.

Memang hasilnya tidak memuaskan.

Selepas ini, mesti rajinkan diri untuk membaca selalu. Semoga temuduga yang akan datang, dapat saya hadapi dengan sebaik-baiknya. Insha-Allah.

Baru-baru ini tersebar video anak kecil yang petah membaca hadis yang dipelajarinya di sekolah tadikanya. Lagilah membuatkan diri ini rasa tercabar sungguh.

Barulah sekarang saya nak membelek buku Hadis 40 Imam Nawawi yang pernah saya beli 8 tahun lepas. Buku itu tidaklah tebal mana, memang bolehlah untuk kita membaca hadis secara santai. Nak yang betul-betul lebih mendalam, memang kena pergi kelas dan berguru.

Amalan membaca ini memang seronok sebenarnya. Sebab, lagi banyak yang kita membaca, lagi banyak yang kita tidak tahu sebenarnya.

Contohlah kita membaca ayat Al-Quran berserta maknanya. Banyak ilmu yang akan kita perolehi. Semuanya ada.

Jadi, selepas ini, semoga rajin-rajinlah diri untuk banyakkan membaca segala ilmu yang ada.

p/s: Baru baca hadis pertama. Pahala amal bergantung kepada niat. Dan masa baca tu tadi terikut-ikut gaya si kecil itu membaca. ☺



Wednesday, 21 August 2019

15 Ogos 2019

Tarikh itu buat pertama kalinya saya kembali menghadiri temuduga setelah secara rasminya menamatkan pengajian pada Februari yang lepas.

Tarikh itu juga ulang tahun salah seorang adik sepupu saya.

Dan.. Tarikh itu jugalah adalah tarikh buat adik sepupu saya yang paling bongsu sebelah emak saya pergi kembali kepada pencipta-Nya.

Malam itu adalah malam yang paling sedih buat keluarga Mak Busu saya.

Saya dan ahli keluarga lain juga tidak terkecuali.

Dia anak kecil yang paling menghiburkan hati buat keluarganya.

Sungguh pemergiannya sangat terasa hingga ke hari ini.

Al-Fatihah buat Fitrah Husna.

Sungguh Kak Inn rindukan Fitrah.

Tak ada lagi yang sering menjerit panggil kak Inn sambil melambai-lambai tiap kali nampak dia pulang ke rumah.

Insha-Allah, syurga buatmu sayang.

p/s: Selepas ini, setiap kali si abang akan mengingati ulang tahun kelahirannya pasti akan mengingati pemergian adik bongsunya.

Tuesday, 16 July 2019

Apa Khabar?

Lama kita tak bertegur siapa di sini.
Semuanya sihat?
Moga baik-baik sahaja di mana jua pun kalian berada.

Lama tak bercerita di sini.
Nak kata sibuk.
Tak juga.

Masih lagi di kampung halaman.
Masih lagi memburu setiap peluang kerja yang ada.

Mungkin..
Selepas ini, kena jugalah usaha untuk menjana pendapatan sendiri.

Nanti,
Bila asyik ditanya, buat apa? Dah kerja ke?

Adalah juga jawapan yang menarik untuk dibalas.

p/s: Struggle tu ada masa macam penat juga kan?.. [=__=]

Sunday, 28 April 2019

Tanam Anggur

Setiap kali ada yang bertanya, "Buat apa sekarang?"

Mesti jawapan, "Tanam anggur" yang sering dibalasnya.

Hampir 3 bulan. Masih lagi terkapar-kapar tanpa haluan.
Bukannya tak ada peluang untuk mencari.
Memang ada.

Cuma diri itu.
Entahlah.
Bila malas memang semua tak jalan.

Harapnya selepas ini, menjadi lebih rajin.
Lebih rajin untuk tidak malas lagi.

p/s: Lama tak update di sini. Rindu nak merepek di sini.

Saturday, 30 March 2019

Insha-Allah, Ada Jodoh Nanti...



Setuju dengan pesanan emaknya. Bulan Julai nanti genaplah usia saya yang ke 32 tahun. Jujurnya, masih belum serius lagi nak ada keluarga sendiri. Mungkin disebabkan memikirkan tentang hutang yang belum terlunas. Dan kerja pun masih tercari-cari lagi. 

Insha-Allah, targetnya jika panjang usia ini lagi, umur 35 tahunlah baru nak fikir dengan lebih serius untuk berkeluarga. Itu pun jika sumber kewangan mencukupi. Dan jumpa jodoh yang berkenan di hati. Kita nak pilih pasangan bukan untuk hidup sehari dua. Tetapi buat sampai ke syurga-Nya. Insha-Allah. 

Buat yang sudah berkeluarga, semoga berbahagia sentiasa hingga akhirnya. 

Buat yang masih bujang, semoga berbahagia juga dengan apa yang kita ada.

Friday, 29 March 2019

LM: Mengapa Saya Mahu Menulis?

Mengapa Saya Mahu Menulis?

Banyak perkara yang nak saya cerita hari ini. Lebih-lebih lagi berkaitan dengan tajuk ni. Mengapa saya mahu menulis? Ya, banyak sebab. Salah satunya sebab saya suka buat cerita merepek-merepek. Tetapi bila difikirkan selalu. Tak mahulah menulis sesuatu yang tidak bermanfaat. Jadi, hari ini memandangkan saya mahu menjadi lebih serius untuk menulis. Maka, saya usahakan juga untuk mengikuti latihan yang diberikan oleh CikPuan Rahmah Mokhtar.

CikPuan Rahmah kata tak perlu nak edit-edit. Taip sahaja. Tapi, saya tak bolehlah. Rasa nak edit aje bila tertaip perkataan yang salah ni. Huhu. Masa menulis diberikan selama 10 minit. Jadi, kita cubalah menaip apa yang boleh sepanjang 10 minit ini.

Sejak dari kecil dulu saya memang minat sangat menulis. Setiap kali pergi ke kedai buku. Mesti saya akan beranagn, suatu hari nanti pasti akan ada buku saya di rak-rak buku tersebut. Dan setiap kali pergi ke pasaraya yang besar, memang kedai bukulah yang selalu saya tuju.

Perasaan kagum melihat kerya orang lain sentiasa ada. CXemburu jangan cakaplah. Memang sentiasa cermburu. kadang-kadang tertanya juga. Macam manalah [penulis-penulis ni dapat idea untuk menulis tebal-tebal. Saya teringin betul nak menylis macam tu,. Tapi taj jadi. Asyik tak siap aje cesuatu cerita ni.

Saya dah mula meanip dengan banyak typi. Bak Kata cikpyuan Rahmah. reruskan. Aje. Jangan edit dulu. hahaha. mula-mula saya kata tadi nka edit. Tapui kali ini saya biarkana aje dululah. Nak tergelak baca. Apahal teruk sangat tupo ni. Hahahaa.

Aduhai.. Lawaba  betul Semoga tak ada yang pening membaca. Ini adalah eksperimen menulis yang sedang dijalankan. Semoga tak jemu untuk bertrabndang ke blog ini lagi.

nanti saya edit semula ejaannya.. >__<

**********

Versi Edit:

Sakit mata pula baca yang banyak typo tu. Hahaha. Ok, yang ini saya edit semula untuk versi ejaan yang lebih baik. Terima kasih kepada yang sudi baca. [^__^]


Mengapa Saya Mahu Menulis?

Banyak perkara yang nak saya cerita hari ini. Lebih-lebih lagi berkaitan dengan tajuk ni. Mengapa saya mahu menulis? Ya, banyak sebab. Salah satunya sebab saya suka buat cerita merepek-merepek. Tetapi bila difikirkan selalu. Tak mahulah menulis sesuatu yang tidak bermanfaat. Jadi, hari ini memandangkan saya mahu menjadi lebih serius untuk menulis. Maka, saya usahakan juga untuk mengikuti latihan yang diberikan oleh Cik Puan Rahmah Mokhtar.

Cik Puan Rahmah kata tak perlu nak edit-edit. Taip sahaja. Tapi, saya tak bolehlah. Rasa nak edit aje bila tertaip perkataan yang salah ni. Huhu. Masa menulis diberikan selama 10 minit. Jadi, kita cubalah menaip apa yang boleh sepanjang 10 minit ini.

Sejak dari kecil dulu saya memang minat sangat menulis. Setiap kali pergi ke kedai buku. Mesti saya akan berangan, suatu hari nanti pasti akan ada buku saya di rak-rak buku tersebut. Dan setiap kali pergi ke pasaraya yang besar, memang kedai bukulah yang selalu saya tuju.

Perasaan kagum melihat karya orang lain sentiasa ada. Cemburu jangan cakaplah. Memang sentiasa cermburu. Kadang-kadang tertanya juga. Macam manalah penulis-penulis ni dapat idea untuk menulis tebal-tebal. Saya teringin betul nak menulis macam tu,. Tapi tak jadi. Asyik tak siap aje sesuatu cerita ni.

Saya dah mula menaip dengan banyak typo. Bak Kata Cik Puan Rahmah. Teruskan aje. Jangan edit dulu. Hahaha. Mula-mula saya kata tadi nak edit. Tapi kali ini saya biarkan aje dululah. Nak tergelak baca. Apahal teruk sangat typo ni. Hahahaa.

Aduhai.. Lawak  betul Semoga tak ada yang pening membaca. Ini adalah eksperimen menulis yang sedang dijalankan. Semoga tak jemu untuk bertandang ke blog ini lagi.

Nanti saya edit semula ejaannya.. >__<

p/s: Ok selesai edit perkataan yang banyak typo itu. Kalau ada yang tersalah lagi, maaflah ye. Huhu.

LM singkatan untuk Latihan Menulis

Ada Sesuatu Yang Boleh Kita Belajar Dengan Si Kecil

Bila berada dengan si kecil. Macam-macam pelajaran yang boleh kita ambil.

Antaranya:

1) Mereka sentiasa berusaha untuk melakukan sesuatu. Erti kata lain, perkataan putus asa macam tak wujud bagi mereka.

2) Mereka tak fikir buat sesuatu itu akan memberikan kesan yang bahaya, yang mereka tahu, mereka nak terus mencuba dan terus mencuba.

3) Keadaan sekeliling adalah 'guru' mereka. Mereka belajar apa sahaja yang berada di sekitar mereka. Contohnya cara kita bercakap, marah, cara menegur dan pelbagai perkara yang lain akan sentiasa menjadi ikutan buat mereka.

4) Dan mereka suka bertanya dan terus bertanya sampaikan menguji jugalah kesabaran kita. Haha.

Banyak perkara sebenarnya jika nak disenaraikan.



Kenangan di Primula Beach Resort bersama Arfan dan Aryan.

p/s: Nak layan kerenah anak-anak kecil ini memang kena banyak sabar..

Friday, 22 March 2019

Perginya Mereka Pada Hari Jumaat Yang Mulia

Seminggu ini memang tak henti-henti nak baca keadaan yang berlaku di Christchurch, New Zealand. Sejak dari hari pertama lagi mendengar perkhabaran yang menyayat hati ini memang macam-macam perasaan ada. Ada ketikanya mengalir juga air mata ini. Rasa cemburu pun ada juga. Cemburu sebab mereka pergi dalam keadaan Husnul Khatimah iaitu penutup kehidupan yang baik. Di saat mereka ingin menunaikan solat Jumaat, itulah kali terakhir amalan mereka sebelum kembali kepada pencipta-Nya.


Sumber dari Twitter.

Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi. Buat semua keluarga mangsa semoga diberikan kekuatan untuk menghadapi hari-hari yang seterusnya tanpa orang yang tersayang. Semoga mangsa yang masih dalam rawatan kembali sembuh dan pulih seperti sedia kala. Aminn..

Beruntungnya orang yang mati syahid.

Wednesday, 20 March 2019

Jalan Cerita Kita Tak Sama

Ada orang, umur 19 tahun dah jadi usahawan berjaya.
Ada orang, umur 23 tahun dah punyai keluarga bahagia.
Ada orang, umur 26 tahun dah ada PhD.
Ada orang, umur 32 tahun baru nak habis pengajian Ijazahnya.
Dan ada orang, umur 43 tahun baru bertemu jodohnya.

Ya. Begitulah hidup.
Setiap orang mempunyai jalan cerita hidup yang berbeza.

Tetapi, tak dinafikan juga,
kadang-kadang hati ini suka juga nak bandingkan dengan kisah orang lain.

Begitulah manusia.
Ada masa tercuit juga hati itu apabila melihat kejayaan orang lain di masa mudanya.
Berbeza sungguh dengan diri.
Dah melangkah ke usia 30-an, masih lagi tercari-cari jalan hidup.

Semoga apa yang kita hadapi sekarang tidak melemahkan semangat kita.
Setiap apa yang kita lalui itu pasti ada hikmahnya.


Thanks Teme, selalu bagi kata-kata semangat kepada setiap pembacanya. 

Tuesday, 19 March 2019

Sambung Master?

Bulan Feburari yang lepas, dah ada rakan yang sama batch masa Ijazah sambung Master bagi kemasukan Semester 2. Dengar kata ramai jugalah yang sambung. Dalam hati cemburulah juga. Nak ikutkan memang nak sangat sambung belajar lagi.

Dulu, berangan betul nak sambung peringkat seterusnya ke luar negara. Tapi, sekarang nak tukar plan. Rasanya Master nak sambung dalam negara aje kut. PhD nanti baru nak sambung ke luar negara. Insha-Allah, jika ada peluang dan rezeki nanti. Tapi, kalau dapat sambung Master ke luar negara, memang nak juga pergi.

Salah satu universiti pilihan. Sumber gambar dari Google.

Sebelum saya nak sambung Master, kena dapatkan kerja dulu. Seboleh-bolehnya nak dapatkan pengalaman kerja dalam bidang yang saya belajar. Sejak dari peringkat Sijil, kemudian Diploma dan terkini Ijazah, semuanya bidang yang sama saya belajar iaitu Kejuruteraan Awam. Sepatutnya lebih mahirlah kan dalam bidang ni. Tapi... Tu lah, belajar takat lulus aje memang sedihlah tengok keputusan setiap semester. Huhu.

Kalau nak dikenangkan semula, Kejuruteraan Awam ini bukan bidang pilihan utama selepas habis SPM. Saya rancang nak ambil Kejuruteraan Kimia, mak saya pula syorkan masa tu saya ambil Kejuruteraan Elektrik sebab senang buku rujukan kakak dan abang saya dah ada. Tapi, waktu tu tak tahu kenapa tak minat sangat bab elektrik ni.

Sebab masa SPM dulu pun saya ambil aliran Sains Tulen, konon-konon masa SPM dulu target nak jadi Doktor. Universiti yang nak sangat saya pergi masa tu adalah University College Dublin, Ireland. Ceritanya memang kuat berangan ajelah. Bila tak studi sungguh-sungguh mana nak dapat keputusan yang cemerlang. Jadi, impian nak jadi doktor perubatan memang terkuburlah. Keputusan SPM yang saya perolehi hanya berjaya dapatkan 2A1, yang selebihnya Alhamdulillah lulus. 

Maka, seterusnya bermulalah mencari program apa yang sesuai untuk keputusan SPM yang saya ambil dulu. Disebabkan nak juga jadi pelajar Sains, maka, saya memilih Kejuruteraan Awam tanpa menyelidiki dahulu bidang itu secara menyeluruh. Entah. Rasa itu aje kut yang boleh saya pilih, sebab Kejuruteraan Kimia terpaksa dilupakan, sebab program itu hanya ditawarkan di Politeknik Kuching sahaja ketika itu. Alasannya, mak dan ayah tak bagi saya sambung belajar jauh-jauh dari kampung.

Perancangan saya selepas dapat keputusan SPM yang takat lulus itu memang nak terus masuk ke Politeknik. Dan Alhamdulillah, disebabkan rasa teruja nak terus sambung belajar, saya pun dapat peluang menyambung pengajian ke peringkat Sijil Kejuruteraan Awam (SKA) di Politeknik Merlimau Melaka (PMM). Sekarang dah tak ada dah program sijil di politeknik. 

Ehhh.. Kejap, tadi nak cerita pasal sambung Master. Tapi, ini lebih melalut cerita perjalanan hidup la pula. Hahaha. Ada ke yang baca? Kalau ada, maaflah dah banyak buang masa anda dengan cerita sampingan ni.

Sumber gambar dari Google

Ok, sambung balik cerita Master. Bab perjalanan hidup itu nanti kita sambung kemudianlah.

Sebelum nak sambung Master, kena tahu mode apa yang nak diambil. Ada 3 jenis program Mode untuk Master:

1) Master by coursework.
Macam belajar zaman Ijazah, masuk kelas, ada tugasan, ada peperiksan. Biasanya 3 semester untuk Master di dalam negara. Di luar negara rasanya ada yang setahun sahaja tempoh pengajian. Ikut tempat pengajian.

2) Master by research.
Yang ini lebih kepada kajian. Dah nama pun research kan. Jadi, sebelum nak sambung tu kenalah cari penyelia yang bersesuaian untuk bidang yang kita nak buat kajian itu. Kena buat proposal kajian. Kalau penyelia itu ok, maka boleh teruskan proses pengajian. Akan lebih kepada buat kajian di makmal atau buat borang kaji selidik. Bergantunglah jenis kajian yang ingin dilakukan. Dan yang penting minat membaca tu memang kena ada. 

3) Master by mix mode.
Ok yang ini, separuh masuk kelas. Separuh lagi buat kajian. Nak cerita lebih pun. Tak reti mana saya ni. Hanya tahu berdasarkan bacaan di Google aje. Hihi.

Dan sebelum nak sambung juga, kena fikirlah nak sambung secara separuh masa atau sepenuh masa. Kalau ada sumber kewangan yang mencukupi dan nak cepat sudah, bolehlah ambil sepenuh masa. Kalau ada yang rasa nak ada pengalaman kerja dan belajar, elok jugalah sambung secara separuh masa.

Saya nanti, rancang macam nak sambung secara sepenuh masa jika sumber kewangan saya tiada masalah. Jika sebaliknya, mungkin sambung secara separuh masa, pendek kata PJJ lah. Pengajian Jarak Jauh. Dan yang pasti buat masa ini nak sambung Master by coursework. Insha-Allah.

Sekarang ni memang rasa rindu nak sambung belajar balik. Memang teringin nak ke luar negara juga Tapi, kena ambil IELTS. Bahasa Inggeris pula tengah tak power ni. Memang kena buat persediaan yang mencukupi. Lagi satu, keputusan pula cuku-cukup makan aje. Alhamdulillah, dapatlah juga Second Class Upper tu sebab nak dapat First Class memang kelaut dah. 

Rasa nak buat entri lagi untuk cerita perjalanan belajar saya. Ada orang baca ke tak, tak apalah. Yang penting boleh jadi kenangan catatan saya di akan datang nanti. Nak dapat Second Class Upper tu pun bukan senang. Dan saya pun tak sangka boleh dapat. Sebab masa semester akhir memang rasa redha dah kalau kata kena ulang lagi. Tapi, perancangan Allah itu lagi hebat. Alhamdulillah, saya lulus semuanya dengan jayanya. Terima kasih kepada semua pensyarah yang mengajar. Jasa anda semua sentiasa diingatan selagi diizinkan-Nya.

p/s: Asyik cerita nak sambung belajar aje. Cerita nak kahwin entahlah bila. Huhu.. Insha-Allah, ada jodoh, adalahkan.. 

Sunday, 17 March 2019

Cantiknya...

Ya. Cantiknya blog-blog yang saya terjah petang tadi. Berbeza betul dengan blog saya. Nampak suram aje. Huhu. Tu lah, blog orang tak kreatif macam inilah jawabnya. Kosong aje. Nak kena rajin usha-usha templatelah lepas ini. Jumpa yang berkenan di hati, bolehlah update template yang lain. 

Nak Cari Idea

Selalu cakap nak cari idea. Tapi itulah, kadang-kadang idea itu ada aje depan mata. Tetapi, sayangnya tak dihargai pula. Malah dibiarkannya pergi. Lalu bertebaranlah idea itu ke serata tempat hingga tidak menampakkan dirinya lagi.

Bila menulis macam merepek ni macam laju aje jari-jemari ini menari-nari di atas papan kekunci. Yelah, menulis ikut suka. Memang selambalah nak taip apa.

Cuba kalau taip artikel. Menung ajelah jawabnya. Terkial-kial mencari bahan rujukan yang ada. Jawabnya memang kena banyak membaca.

Rasa hari ini nak singgah blog-blog yang ada. Manalah tahu dapat cari idea untuk terus aktif di blog. Saya ini kalau semangat nak berblog selalunya sekejap aje, selepas itu mesti macam buat-buat sibuk sampai lupa kewujudan blog yang saya ada. Heh. Alasan itu semua.

Oklah. Nak blogwalking.

Yang masih sudi singgah ke sini. Terima kasih diucapkan. [^__^]

Thursday, 14 March 2019

Memang Kena Banyak Sabar

Nak menjaga anak-anak kecil ini bukannya mudah. Teringat ketika menjaga anak menakan yang waktu itu usianya tak sampai lagi setahun. Merasalah juga macam mana mak ayah yang terpaksa berjaga malam bila anak tetiba terjaga dan menangis bila ada yang tak kena.

Mula-mula memang rasa tak keruan dah bila melihat si kecil tak berhenti-henti menangis. Alhamdulillah mak banyak bagi tunjuk ajar apa yang patut, bolehlah saya belajar untuk memahami si kecil ini. Maklumlah masih bujangkan. Manalah nak mahir sangat menjaga anak-anak kecil.

Memang kena banyak sabarlah cerita dia. Sentiasa kena check apa yang tak kena. Mungkin dia merengek sebab perutnya meragam, mungkin sebab pampersnya dah berat, mungkin sebab dia lapar, mungkin sebab dia dah pun buang air besar dan macam-macam mungkin lagilah. Memang kena usaha cari sampailah tak menangis lagi. Bukan senang jaga anak kecil, serius bukan senang.

Kini, anak menakan yang pernah saya jaga yang sering buat saya berjaga setiap malam dah pun berusia empat tahun. Setiap kali teringat si kecil itu pasti akan buat saya terkenang saat-saat tak keruan saya setiap kali dia menangis setiap malam. Itu, belum lagi bila bercerita tentang anak menakan yang lain yang pernah juga saya jaga.

Memandangkan saya baru habis belajar dan masih lagi mencari kerja, jadi, ada masa bolehlah saya menjaga anak menakan saya. Kebetulan salah seorang kakak saya ada kursus, jadi, anak menakan saya yang 4 tahun ini buat ketika ini di bawah jagaan saya. 

Di saat saya menaip entri ini adalah di saat yang terpaksa saya berjaga disebabkan perut si kecil ini meragam. Mulalah tak keruan dibuatnya bila dia menangis tadi. Antara sebab dia sakit perut boleh jadi sebab dia kurang makan, minum susu pun kurang dan asyik nak minum air milo. Silap saya juga ikutkan kehendak sangat si kecil ini tadi.

Dan sekarang, selepas ditukarkan pampers, dah sapu minyak dibahagian perutnya, setiap kali beberapa jam dia akan merengek sebab rasa sakit yang dialaminya itu. Dah buatkan susu pun tak mahu diminumnya. 

Semoga rasa sakitnya hilang dan esok pagi dapatlah si kecil ini membuang dengan jayanya. Sakit perut sebab tak dapat nak membuang ini kita yang dewasa pun kekadang tak tahan juga rasa sakit tu.

Huhu.. Maaflah kalau ada sesiapa yang tengah baca entri ini sambil makan. Itupun kalau ada yang bacalah. 

Bila si kecil ini asyik berkata, "Nak mama..", secara tak langsung tak kuat juga dibuatnya. Insha-Allah, mamanya balik petang Khamis ni.

p/s: Nasihat saya kepada yang bujang, rajin-rajinkanlah melayan anak kecil. Nanti dah ada anak sendiri, tahulah macam mana nak uruskan. Perkahwinan itu lebih banyak tanggungjawab dari menyeronokkan. Rasa macam nak kena buat entri lain pula bab yang ini. Huhu.