Friday, 30 August 2019

Jurutera Siswazah

Alhamdulillah. Petang tadi dah dapat email daripada Lembaga Jurutera Malaysia mengenai pendaftaran sebagai Jurutera Siswazah. Terima kasih kepada pihak universiti yang telah memudahkan kami graduan yang akan berkonvokesyen pada bulan Oktober 2019 untuk mendaftar secara bulk ini. Yuran pendaftaran dah siap bayar masa semester akhir yang lepas. Jadi, kami tinggal untuk isikan borang dan hantar kepada pihak universiti untuk urusan yang seterusnya. Berbeza pada zaman kakak dan abang saya, mereka kena daftar sendiri. 


Saya kongsikan ini bukannya nak menunjuk-nunjuk. Tapi, dah tunjuk ini kiranya macam menunjuklah jugakkan. Hahaha. Sebenarnya apa yang saya nak catatkan ini lebih kepada untuk kenangan memori sendiri. Saya ingat lagi, masa SPM dulu, tak terfikir langsung pun nak masukkan Jurutera sebagai pekerjaan yang diidamkan.

Seingat saya, ketika di tingkatan 2 saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang Ahli Astronomi. Tetapi, saya tak nampak laluan ke arah kerjaya itu. Mungkin kurang pendedahan. Hanya berangan-angan sahajalah. Kemudian, apabila berada di tingkata 4, dapat masuk ke aliran Sains Tulen. Jadi, konon-kononnya nak menjadi seorang Doktor perubatan. Rancang pula nak sambung belajar di University College Dublin Ireland. Macam biasa, berangan ajelah. Dengan keputusan SPM yang setakat lulus aje. Impian tersebut terkubur dengan sendirinya.

Biarpun keputusan subjek Fizik dan Biologi hanya setakat lulus, Kimia aje yang dapat kredit, tetapi keinginan untuk meneruskan pengajian dalam bidang Sains tak pernah padam. Malah lebih bercita-cita besar. Tak sedar diri langsung masa itu keputusan dah memang teruk. Nak mohon masuk ke universiti macam tak lepas. Nak sambung dalam bidang perubatan, lagilah tak lepas. Tetapi, saya tetap meneruskan strategi saya yang seterusnya untuk memohon dalam bidang kejuruteraan di Politeknik. Kiranya masih lagi berkaitan dengan sainslah juga, kan? Hihi

Ketika itu memang dah rancang nak mohon program Kejuruteraan Kimia dan Proses. Memang berangan dah nak bekerja sebagai seorang Jurutera Kimia. Dan tambah berangan lagi nak bekerja di pelantar minyak. Hidup saya memang tak pernah berhenti dengan berangan. Tetapi, apakan daya, disebabkan program itu hanya ditawarkan di Politeknik Kuching Sarawak ketika itu, maka saya tukar permohonan saya ke program Kejuruteraan Awam. 

Sebab tukar? Emak dan ayah tak bagi saya pergi jauh-jauh dari rumah. Anak bongsulah katakan. Perempuan pula tu. Kerisauan mereka memang tak mampu saya redakan. Emak saya dah pesan, pilihlah program Kejuruteraan Elektrik. Sebab buku-buku rujukan banyak dah ada. Kebetulan kakak dan abang saya sudah pun belajar dalam bidang tersebut.

Tetapi, disebabkan saya macam dalam fasa rebel. Merajuk pun ya juga. Saya pilih Kejuruteraan Awam. Entah kenapalah nak pilih juga bidang ini. Nak ikutkan tak tahu apa pun tentang Kejuruteraan Awam. Ikut suka hati aje mohon. Sebab masa itu saya boleh pula fikir macam ni, "Kejuruteraan Elektrik, Bang. Marul dengan Kak Ipah dah ambil, Kejuruteraan Mekanikal pula Bang. Mirul dah ambil. Haa.. Kejuruteraan Awam aje yang tak ada siapa ambil lagi. Aku pilih yang ini ajelah.." Itulah yang berlaku masa saya nak tukar permohonan. Dah lah tinggal sehari sahaja sebelum tarikh tutup. Masa tu kena buat permohonan secara online. Jadi, bersungguhlah saya pergi ke cc (cyber cafe) untuk tukar permohonan tersebut. Sedih jugalah waktu itu sebab tak dapat bidang yang saya nak.

Abang Mirul saya yang ketika itu sedang belajar di Ipoh ada juga telefon, bertanyakan tentang perancangan saya  untuk sambung belajar. Saya pun mengadu ajelah kepada dia tentang permohonan yang terpaksa saya tukar itu. Dia pun nasihat ajelah, "Tak semestinya apa yang kau nak tu terbaik untuk kau, dan boleh jadi apa yang kau tak nak itulah yang terbaik untuk kau." Lebih kurang macam itulah ayat dia. Dan dia pun sebelum itu ada nasihatkan saya, "Nak mohon nanti pilihlah satu Sijil dengan satu Diploma. Nanti gerenti kau dapat Sijil." Memang masin tau mulut dia. Dan saya pun memang lurus ikut cakap dia. Hahaha. Sebab saya nak cepat sambung belajar. Memang saya dapat Sijil Kejuruteraan Awam dan tempat saya mulakan destinasi selepas SPM adalah di PMM iaitu Politeknik Merlimau Melaka. Saya bangga menjadi warga PMM! [^__^]

Maka, di situ bermulalah drama saya dengan program Kejuruteraan Awam. (Sebelum tukar permohonan tu memang tak tanya langsung kepada abang saya tentang bidang ini. Sebab masa itu, kemaruk nak Kejuruteraan Kimia aje. Tak ambil tahu langsung pasal Kejuruteraan Awam. Hahaha.)

Rasanya macam panjang betul cerita dalam entri kali ini. Kalau menulis lagi rasanya boleh dah kut buat satu buku. Hahaha. Siapalah yang nak baca nanti. Nanti kita sambung perjalanan yang seterusnya di entri akan datang. Bila nak sambung tak tahulah.

Berbalik kepada tajuk entri, (Pergghh.. Mukadimah dia bukan main panjangkan? Hahaha)

Biarpun hanya bergelar Jurutera Siswazah. Alhamdulillah, dapatlah juga menjadi seorang Jurutera, kan? Tapi, itulah. Saya masih lagi membuat pelbagai aktiviti yang boleh mengisi masa lapang saya. Erti kata lain, masih lagi menjadi penanam anggur yang memang tak berbuah. Tetapi, kekadang teringin juga nak tanam anggur yang ada hasil tu. Berangan nak tanam pokok anggur di belakang rumah. Ada masa adalah juga saya mohon pekerjaan yang berkaitan.

Ada juga perancangan nak cari kerja lain buat sementara waktu. Tetapi, disebabkan saya ada lagi satu temuduga dengan SPA pada bulan September nanti. Jadi, saya hentikanlah niat saya itu. Mak saya risau saya tak fokus nanti. Jadi, mak saya harap sangat saya dapat buat persediaan secukupnya. Sebab temuduga yang lepas saya kurang persediaan. Sekarang ini pun, pada masa yang sama juga saya sedang siapkan tempahan lukisan mini saya yang kemudiannya saya jadikannya fridge magnet. Dah siap lukis, laminate, lepas tu tampal magnet di bahagian belakangnya, maka jadilah fridge magnet. Kan? Hahaha.

Lukisan saya yang masih tahap 'newbie', kadang-kadang macam budak tadika pun ada. Alhamdulillah, ada juga yang berkenan dengan karya saya itu. Semoga dipermudahkan urusan untuk menyiapkannya secepat mungkin. Nanti saya ceritakan tentang lukisan saya itu di entri yang lain.

Usia saya sekarang dah pun ke angka 32 tahun, kadang-kadang cemburu dengan rakan-rakan yang dah bekerja. Kadang-kadang tak nak tengok instagram, sebab nanti ternampak kawan-kawan update tentang aktiviti kerja mereka. Lebih-lebih lagi yang dapat bekerja dalam bidang berkaitan. Saya teringin sangat nak bekerja sebagai seorang Jurutera. Pergi ke tapak projek pembinaan. Baca pelan. Buat design. Lalui pelbagai ragam manusia. Lagipun bidang Kejuruteraan Awam ini luas sebenarnya. Bukan hanya setakat bekerja di tapak pembinaan sahaja. Banyak lagi tempat yang boleh diaplikasikan berkaitan bidang ini.

Kekadang rasa macam disebabkan usia sekarang mungkin salah satu penyebab sukar untuk saya dapat pekerjaan yang diidamkan. Tetapi, bila ada peluang mendapat temuduga daripada SPA, persepsi saya sedikit berubah. Mungkin, ada sinarnya nanti. Insha-Allah.

Semoga masih ada peluang untuk saya bekerja dalam bidang yang saya pelajari ini. Ada rezeki nanti, Insha-Allah, nak juga sambung belajar ke peringkat yang seterusnya lagi.

Oklah. Panjang betul menaip kali ini. Kepada yang sudi baca. Jutaan terima kasih saya ucapkan. Kita jumpa di lain entri. [^__^]

p/s: Tarikh 15 Ogos 2019.. Sungguh tak akan saya lupakan.. Al-Fatihah buat arwah Fitrah Husna.. 

8 comments:

  1. Good luck for SPA interview...fokus2..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Insha-Allah.. Terima kasih. Memang nak kena fokus sungguh-sungguh kali ini. =)

      Delete
  2. Replies
    1. Insha-Allah, Kak Normala. Terima kasih. =)

      Delete
  3. perasaan faarihin tu sama je dengan apa yang saya rasa kadang2 bila tengok kawan2 seusia ramai da berjaya dalam bidang masing2...tapi percayalah, rezeki masing2 berbeza...insya'Allah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya cemburu dengan rakan-rakan sebaya. Masing-masing dah ada kerjaya dan keluarga sendiri. Tapi itulah memang kena selalu ingatkan kepada diri yang setiap rezeki semua orang itu berbeza-beza. Insha-Allah, Sunah. Terima kasih banyak. =)

      Delete