Saturday, 10 June 2023

Ke Manakah Halatuju Selepas SPM?

Tahniah kepada semua adik-adik yang berjaya mengharungi segala jerih payah dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Biar apa pun keputusan yang dihadapi, anda dah melakukan sehabis baik yang mungkin. Tahniah!

Kepada yang kurang berjaya, jangan berputus asa. Masih banyak peluang yang anda boleh ceburi, yang penting semangat untuk menimba ilmu sentiasa ada dalam diri.

Tak kira apa pun perjalanan yang dipilih selepas ini, semoga sentiasa ada sinar di akhirnya.

Banyak peluang yang adik-adik boleh ceburi selepas SPM. Selain Matrikulasi, IPG, dan Asasi, senarai di bawah ini juga boleh menjadi tempat adik-adik untuk memulakan perjalanan selepas SPM. Antaranya:

Berminat untuk menceburkan bidang dalam kemahiran pembinaan, boleh sertai Akademi Binaan Malaysia. Di sini juga memberikan peluang kepada belia untuk sertai kursus-kursus yang ditawarkan.

Selain itu, kita ada juga tempat yang menyediakan latihan kemahiran yang lain seperti di Institut Kemahiran Mara, GiatMara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara,  Institut Latihan PerindustrianKolej Komuniti, Politeknik, dan Adtec. Banyak tempat latihan kemahiran yang lain. 

Tambahan lagi jika ada yang berminat untuk menimba ilmu dalam bidang kraftangan boleh juga mohon di Institut Kraf Negara. Di sini pun ada ditawarkan untuk peringkat belia. 

Jika berminat dalam bidang perkayuan seperti reka bentuk dan pembuatan perabot, boleh juga mohon di Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia. Program latihan jangka pendek pun ada ditawarkan di sana. 

Nak tuntut ilmu tentang perikanan pun negara kita ada sediakan tempat untuk belajar. Boleh layari laman sesawang Jabatan Perikanan Malaysia untuk maklumat lanjut. 

Program latihan kemahiran pertanian pun ada juga ditawarkan di bawah Kementerian Pertanian Kebangsaan. Banyak juga pilihan bidang yang ditawarkan seperti tanaman, pengeluaran padi, akuakultur marin dan air tawar. Banyak lagi bidang boleh dipilih. 

Lagi institut apa lagi kita nak cari? 

Oh! Sesiapa yang minat seni, bidang lakonan, nyanyian, pengacaraan dan teater, kita juga ada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan atau lebih dikenali sebagai ASWARA

Selain adik-adik nak mohon Diploma di Universiti Awam melalui UPU, boleh juga mohon Diploma di bawah MARA seperti di Kolej Profesional Mara dan banyak lagi institusi di bawah MARA yang lain.

Jika ada yang teringin nak bekerja di laut boleh mohon di Akademi Laut Malaysia

Jika ada yang berhajat ingin bekerja di pelantar minyak, adik-adik boleh dapatkan maklumat di INSTEP. Studi apa syarat yang diperlukan untuk membolehkan adik-adik berpeluang bekerja di bidang tersebut. Studi juga apa bidang yang berkaitan yang adik-adik boleh sambung belajar untuk membolehkan adik-adik bekerja dalam bidang oil and gas.

Banyak lagi peluang belajar yang boleh diterokai. Sekarang semua maklumat boleh dicapai dihujung jari aje. Inilah untungnya bila kemudahan internet yang ada memudahkan kita untuk mencari segala maklumat yang kita perlukan.

Semoga adik-adik berjaya dalam bidang yang diceburi. 

Agak sedih juga bila baca berita tahun lepas hampir 70 ribu yang tercicir dalam SPM. Kepada adik-adik, jangan berputus asa. Jika niat nak belajar itu sentiasa ada. Banyak peluang kemahiran yang adik-adik  boleh ceburi. Nak belajar ke luar negara juga tidak mustahil suatu hari nanti. Tetapi, laluannya memang panjang. Tak salah pun jika adik-adik belajar bermula dari Sijil.

Saya juga memulakan perjalanan pendidikan saya dengan Sijil selepas tamat SPM. Jadi, jangan ada rasa rendah diri. Belajar di mana-mana tetap ada keistimewaannya.

p/s: Rasa nak sambung belajar lagi. Kalau boleh nak sambung sampai PhD. 

Saturday, 3 June 2023

Hai!

 


Lama tak update sini. Masih ada lagi ke yang sudi singgah ke sini? 

Ohhh.. Saya sudah tukar nama untuk link blog saya.
Mungkin kawan-kawan blog saya sebelum ini dah tak dapat kut nak ke laman blog saya sekarang.

Asyik tukar link aje. 😅

Saya tak tahulah sama ada selepas ini saya akan aktif semula lagi. 

Tapi, saya cuba selagi boleh untuk update di sini.

Semoga kembali rajin menulis!