Saturday, 31 August 2019

Salam Hari Kemerdekaan Yang Ke-62 Tahun

31 Ogos 1957 - 31 Ogos 2019

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-62 tahun.

Semoga negara kita sentiasa diberkati dan dilindungi-Nya. 


Bila melukis bendera Malaysia, bahagian bucu bintanglah yang selalu tak menjadi nak lukis. Huhu.

p/s: Masih berlatih lagi main lukis-lukis ni. Mohon tunjuk ajar.. [^__^]

Friday, 30 August 2019

Jurutera Siswazah

Alhamdulillah. Petang tadi dah dapat email daripada Lembaga Jurutera Malaysia mengenai pendaftaran sebagai Jurutera Siswazah. Terima kasih kepada pihak universiti yang telah memudahkan kami graduan yang akan berkonvokesyen pada bulan Oktober 2019 untuk mendaftar secara bulk ini. Yuran pendaftaran dah siap bayar masa semester akhir yang lepas. Jadi, kami tinggal untuk isikan borang dan hantar kepada pihak universiti untuk urusan yang seterusnya. Berbeza pada zaman kakak dan abang saya, mereka kena daftar sendiri. 


Saya kongsikan ini bukannya nak menunjuk-nunjuk. Tapi, dah tunjuk ini kiranya macam menunjuklah jugakkan. Hahaha. Sebenarnya apa yang saya nak catatkan ini lebih kepada untuk kenangan memori sendiri. Saya ingat lagi, masa SPM dulu, tak terfikir langsung pun nak masukkan Jurutera sebagai pekerjaan yang diidamkan.

Seingat saya, ketika di tingkatan 2 saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang Ahli Astronomi. Tetapi, saya tak nampak laluan ke arah kerjaya itu. Mungkin kurang pendedahan. Hanya berangan-angan sahajalah. Kemudian, apabila berada di tingkata 4, dapat masuk ke aliran Sains Tulen. Jadi, konon-kononnya nak menjadi seorang Doktor perubatan. Rancang pula nak sambung belajar di University College Dublin Ireland. Macam biasa, berangan ajelah. Dengan keputusan SPM yang setakat lulus aje. Impian tersebut terkubur dengan sendirinya.

Biarpun keputusan subjek Fizik dan Biologi hanya setakat lulus, Kimia aje yang dapat kredit, tetapi keinginan untuk meneruskan pengajian dalam bidang Sains tak pernah padam. Malah lebih bercita-cita besar. Tak sedar diri langsung masa itu keputusan dah memang teruk. Nak mohon masuk ke universiti macam tak lepas. Nak sambung dalam bidang perubatan, lagilah tak lepas. Tetapi, saya tetap meneruskan strategi saya yang seterusnya untuk memohon dalam bidang kejuruteraan di Politeknik. Kiranya masih lagi berkaitan dengan sainslah juga, kan? Hihi

Ketika itu memang dah rancang nak mohon program Kejuruteraan Kimia dan Proses. Memang berangan dah nak bekerja sebagai seorang Jurutera Kimia. Dan tambah berangan lagi nak bekerja di pelantar minyak. Hidup saya memang tak pernah berhenti dengan berangan. Tetapi, apakan daya, disebabkan program itu hanya ditawarkan di Politeknik Kuching Sarawak ketika itu, maka saya tukar permohonan saya ke program Kejuruteraan Awam. 

Sebab tukar? Emak dan ayah tak bagi saya pergi jauh-jauh dari rumah. Anak bongsulah katakan. Perempuan pula tu. Kerisauan mereka memang tak mampu saya redakan. Emak saya dah pesan, pilihlah program Kejuruteraan Elektrik. Sebab buku-buku rujukan banyak dah ada. Kebetulan kakak dan abang saya sudah pun belajar dalam bidang tersebut.

Tetapi, disebabkan saya macam dalam fasa rebel. Merajuk pun ya juga. Saya pilih Kejuruteraan Awam. Entah kenapalah nak pilih juga bidang ini. Nak ikutkan tak tahu apa pun tentang Kejuruteraan Awam. Ikut suka hati aje mohon. Sebab masa itu saya boleh pula fikir macam ni, "Kejuruteraan Elektrik, Bang. Marul dengan Kak Ipah dah ambil, Kejuruteraan Mekanikal pula Bang. Mirul dah ambil. Haa.. Kejuruteraan Awam aje yang tak ada siapa ambil lagi. Aku pilih yang ini ajelah.." Itulah yang berlaku masa saya nak tukar permohonan. Dah lah tinggal sehari sahaja sebelum tarikh tutup. Masa tu kena buat permohonan secara online. Jadi, bersungguhlah saya pergi ke cc (cyber cafe) untuk tukar permohonan tersebut. Sedih jugalah waktu itu sebab tak dapat bidang yang saya nak.

Abang Mirul saya yang ketika itu sedang belajar di Ipoh ada juga telefon, bertanyakan tentang perancangan saya  untuk sambung belajar. Saya pun mengadu ajelah kepada dia tentang permohonan yang terpaksa saya tukar itu. Dia pun nasihat ajelah, "Tak semestinya apa yang kau nak tu terbaik untuk kau, dan boleh jadi apa yang kau tak nak itulah yang terbaik untuk kau." Lebih kurang macam itulah ayat dia. Dan dia pun sebelum itu ada nasihatkan saya, "Nak mohon nanti pilihlah satu Sijil dengan satu Diploma. Nanti gerenti kau dapat Sijil." Memang masin tau mulut dia. Dan saya pun memang lurus ikut cakap dia. Hahaha. Sebab saya nak cepat sambung belajar. Memang saya dapat Sijil Kejuruteraan Awam dan tempat saya mulakan destinasi selepas SPM adalah di PMM iaitu Politeknik Merlimau Melaka. Saya bangga menjadi warga PMM! [^__^]

Maka, di situ bermulalah drama saya dengan program Kejuruteraan Awam. (Sebelum tukar permohonan tu memang tak tanya langsung kepada abang saya tentang bidang ini. Sebab masa itu, kemaruk nak Kejuruteraan Kimia aje. Tak ambil tahu langsung pasal Kejuruteraan Awam. Hahaha.)

Rasanya macam panjang betul cerita dalam entri kali ini. Kalau menulis lagi rasanya boleh dah kut buat satu buku. Hahaha. Siapalah yang nak baca nanti. Nanti kita sambung perjalanan yang seterusnya di entri akan datang. Bila nak sambung tak tahulah.

Berbalik kepada tajuk entri, (Pergghh.. Mukadimah dia bukan main panjangkan? Hahaha)

Biarpun hanya bergelar Jurutera Siswazah. Alhamdulillah, dapatlah juga menjadi seorang Jurutera, kan? Tapi, itulah. Saya masih lagi membuat pelbagai aktiviti yang boleh mengisi masa lapang saya. Erti kata lain, masih lagi menjadi penanam anggur yang memang tak berbuah. Tetapi, kekadang teringin juga nak tanam anggur yang ada hasil tu. Berangan nak tanam pokok anggur di belakang rumah. Ada masa adalah juga saya mohon pekerjaan yang berkaitan.

Ada juga perancangan nak cari kerja lain buat sementara waktu. Tetapi, disebabkan saya ada lagi satu temuduga dengan SPA pada bulan September nanti. Jadi, saya hentikanlah niat saya itu. Mak saya risau saya tak fokus nanti. Jadi, mak saya harap sangat saya dapat buat persediaan secukupnya. Sebab temuduga yang lepas saya kurang persediaan. Sekarang ini pun, pada masa yang sama juga saya sedang siapkan tempahan lukisan mini saya yang kemudiannya saya jadikannya fridge magnet. Dah siap lukis, laminate, lepas tu tampal magnet di bahagian belakangnya, maka jadilah fridge magnet. Kan? Hahaha.

Lukisan saya yang masih tahap 'newbie', kadang-kadang macam budak tadika pun ada. Alhamdulillah, ada juga yang berkenan dengan karya saya itu. Semoga dipermudahkan urusan untuk menyiapkannya secepat mungkin. Nanti saya ceritakan tentang lukisan saya itu di entri yang lain.

Usia saya sekarang dah pun ke angka 32 tahun, kadang-kadang cemburu dengan rakan-rakan yang dah bekerja. Kadang-kadang tak nak tengok instagram, sebab nanti ternampak kawan-kawan update tentang aktiviti kerja mereka. Lebih-lebih lagi yang dapat bekerja dalam bidang berkaitan. Saya teringin sangat nak bekerja sebagai seorang Jurutera. Pergi ke tapak projek pembinaan. Baca pelan. Buat design. Lalui pelbagai ragam manusia. Lagipun bidang Kejuruteraan Awam ini luas sebenarnya. Bukan hanya setakat bekerja di tapak pembinaan sahaja. Banyak lagi tempat yang boleh diaplikasikan berkaitan bidang ini.

Kekadang rasa macam disebabkan usia sekarang mungkin salah satu penyebab sukar untuk saya dapat pekerjaan yang diidamkan. Tetapi, bila ada peluang mendapat temuduga daripada SPA, persepsi saya sedikit berubah. Mungkin, ada sinarnya nanti. Insha-Allah.

Semoga masih ada peluang untuk saya bekerja dalam bidang yang saya pelajari ini. Ada rezeki nanti, Insha-Allah, nak juga sambung belajar ke peringkat yang seterusnya lagi.

Oklah. Panjang betul menaip kali ini. Kepada yang sudi baca. Jutaan terima kasih saya ucapkan. Kita jumpa di lain entri. [^__^]

p/s: Tarikh 15 Ogos 2019.. Sungguh tak akan saya lupakan.. Al-Fatihah buat arwah Fitrah Husna.. 

Manfaat Membaca Surah Al-Kahfi

Setiap kali hari Jumaat, mesti teringatkan Surah Al-Kahfi. Dan pagi tadi Program #QuranHour pun menceritakan tentang Surah Al-Kahfi. Banyak manfaat yang diperolehi bila kita membaca surah Al-Kahfi ini. Antaranya:

Dapat menjauhkan diri dari fitnah Dajjal.

Berdasarkan hadis dari HR Muslim, "Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat dari permulaan surah Al-Kahfi, maka ia dilindungi dari Dajjal."

Dalam riwayat Abu Dawud pula seperti yang disampaikan oleh Qatadah, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barang siapa yang menghafal ayat akhir daripada Surah al-Kahfi akan terpelihara daripada fitnah Dajjal."

Tambahan lagi dengan membaca Surah Al-Kahfi juga akan memperolehi pengampunan dosa di antara dua jumaat. Seperti di dalam hadis: "Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat maka akan memancar cahaya di bawah kakinya sampai ke langit, akan meneranginya kelak pada hari kiamat, dan diampuni dosanya antara dua Jumaat." (HR. Al-Hakim dan Al-Baihaqi).

Selepas ini, eloklah selalu amalkan membaca surah Al-Kahfi dan begitu juga surah-surah yang lain. Semoga Allah sentiasa melindungi kita dari segala gangguan yang tidak diingini dan tetap teguhkan iman kita. Moga kita juga sentiasa istiqamah di jalan-Nya. Insha-Allah.

Sumber:
1) http://www.islam.gov.my/e-hadith/319-kelebihan-membaca-surah-al-kahfi
2) https://www.hmetro.com.my/addin/2018/07/362195/manfaat-surah-al-kahfi
3) https://www.mingguanwanita.my/ini-rupanya-4-sebab-kenapa-surah-al-kahfi-sangatlah-digalakkan-dibaca-hari-jumaat/

p/s: Jika ada yang salah mohon betulkan. Rasa macam pergi masuk kelas hadis aje. Teringin nak belajar tentang hadis-hadis yang lain. 

Thursday, 29 August 2019

To Do List

Siapa rajin buat senarai aktiviti yang akan dilakukan setiap hari?
Biasanya terlaksana tak semua aktiviti tu?

Saya selalu juga buat senarai tu.
Tapi, tak semualah yang berjaya dilakukan.

Kadang-kadang rasa macam tamak pun ada.
Yelah, tamak nak buat semua perkara.
Tapi, yang betul-betul buat dalam tiga dan empat perkara aje. Haha.

Sesiapa yang berjaya buat kesemua aktiviti yang disenaraikan,
kongsikanlah tip kejayaan tu. [^__^]

p/s: Rasanya lepas ni tulis senarai aktiviti yang dah berjaya dibuat ajelah. 

Sunday, 25 August 2019

Banyakkan Membaca

Rugi betul bila menghadiri temuduga yang pertama saya tidak membuat persiapan sebaik-baiknya. Saya akui saya kurang membaca. Jadi, setiap soalan yang penemuduga tanyakan, saya tidak dapat menjawab dengan lancarnya. 

Silap sendiri. Dah banyak kali dah orang sekeliling pesan, studi, baca apa yang berkaitan. Tapi, saya buat endah tak endah. Sehari sebelum temuduga barulah sibuk nak baca mana yang sempat.

Memang hasilnya tidak memuaskan.

Selepas ini, mesti rajinkan diri untuk membaca selalu. Semoga temuduga yang akan datang, dapat saya hadapi dengan sebaik-baiknya. Insha-Allah.

Baru-baru ini tersebar video anak kecil yang petah membaca hadis yang dipelajarinya di sekolah tadikanya. Lagilah membuatkan diri ini rasa tercabar sungguh.

Barulah sekarang saya nak membelek buku Hadis 40 Imam Nawawi yang pernah saya beli 8 tahun lepas. Buku itu tidaklah tebal mana, memang bolehlah untuk kita membaca hadis secara santai. Nak yang betul-betul lebih mendalam, memang kena pergi kelas dan berguru.

Amalan membaca ini memang seronok sebenarnya. Sebab, lagi banyak yang kita membaca, lagi banyak yang kita tidak tahu sebenarnya.

Contohlah kita membaca ayat Al-Quran berserta maknanya. Banyak ilmu yang akan kita perolehi. Semuanya ada.

Jadi, selepas ini, semoga rajin-rajinlah diri untuk banyakkan membaca segala ilmu yang ada.

p/s: Baru baca hadis pertama. Pahala amal bergantung kepada niat. Dan masa baca tu tadi terikut-ikut gaya si kecil itu membaca. ☺



Wednesday, 21 August 2019

15 Ogos 2019

Tarikh itu buat pertama kalinya saya kembali menghadiri temuduga setelah secara rasminya menamatkan pengajian pada Februari yang lepas.

Tarikh itu juga ulang tahun salah seorang adik sepupu saya.

Dan.. Tarikh itu jugalah adalah tarikh buat adik sepupu saya yang paling bongsu sebelah emak saya pergi kembali kepada pencipta-Nya.

Malam itu adalah malam yang paling sedih buat keluarga Mak Busu saya.

Saya dan ahli keluarga lain juga tidak terkecuali.

Dia anak kecil yang paling menghiburkan hati buat keluarganya.

Sungguh pemergiannya sangat terasa hingga ke hari ini.

Al-Fatihah buat Fitrah Husna.

Sungguh Kak Inn rindukan Fitrah.

Tak ada lagi yang sering menjerit panggil kak Inn sambil melambai-lambai tiap kali nampak dia pulang ke rumah.

Insha-Allah, syurga buatmu sayang.

p/s: Selepas ini, setiap kali si abang akan mengingati ulang tahun kelahirannya pasti akan mengingati pemergian adik bongsunya.